05 November 2008

KURIKULUM PASTI

FALSAFAH PENDIDIKAN

Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan, dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman, dan Ihsan.

Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi, dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam.

Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat.

KURIKULUM

Kurikulum Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) merupakan suatu kurikulum prasekolah yang dibina khusus untuk pengajian kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun berdasarkan falsafah Pendidikan Negara (FPN), Falsafah Pendidikan Islam (FPI), dan Falsafah Pendidikan PASTI (FPP) yang melibatkan anak-anak PASTI dan guru (mu’alumah).

KANDUNGAN & FUNGSI KURIKULUM

Kurikulum PASTI adalah megikut susunan kandungan yang diajar secara tersusun dan sistematik bagi memenuhi serta mencapai matlamat Tarbiyyah Islamiyyah. Pada dasarnya kurikulum ini adalah pancaran konsep Insaniyyah dari Manhaj Al-Hayah Al-Rabbani yang berpaksikan Iman, Islam, dan Ihsan.

Fungsinya ialah bagi mengawal dan memelihara fitrah manusia supaya potensi-potensi rohaniah, aqliah, dan jasmaniyah tidak dirosakkan oleh pengaruh alam sekeliling yang merendahkan kualiti iman manusia. Selain itu, kurikulum PASTI juga berfungsi untuk memperkembangkan fitrah serta potensi-potensi kemanusiaan selaras dengan kehendak matlamat Pendidikan Islam.

No comments: